fb fb fb fb fb

Bekas Menteri Indonesia dipenjara atas kes rasuah telekomunikasi

Mahkamah turut memerintahkan Plate membayar denda satu bilion rupiah atau menjalani hukuman penjara tambahan selama enam bulan / Foto Reuters

JAKARTA, 8 November - Bekas Menteri Komunikasi Indonesia dijatuhi hukuman penjara 15 tahun pada Rabu selepas didapati bersalah melakukan kesalahan rasuah dalam kes yang menyebabkan negara itu kerugian lebih AS$500 juta.

Mahkamah Pencegahan Rasuah Indonesia mendapati bekas Menteri Komunikasi dan Teknologi Maklumat, Johnny Gerard Plate bersalah kerana menggunakan kedudukannya ketika memegang jawatan itu untuk kepentingan dirinya daripada projek telekomunikasi.

“Defendan telah didapati secara sah dan meyakinkan bersalah melakukan rasuah bersama orang lain dan (mahkamah) menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun kepada defendan,” kata Hakim, Fahzal Hendri.

Mahkamah turut memerintahkan lelaki berusia 67 tahun itu membayar denda satu bilion rupiah atau menjalani hukuman penjara tambahan selama enam bulan.

"Dia (Plate) juga diperintahkan membayar 15.5 bilion rupiah sebagai ganti rugi atau asetnya dirampas oleh mahkamah," tambah Hendri.

Plate ditahan pada Mei kerana penglibatannya dalam projek Stesen Transceiver Pangkalan (BTS), yang bertujuan menyediakan akses internet 4G ke kawasan terpencil di seluruh nusantara yang diketuai oleh sebuah agensi di bawah kementerian komunikasi.

Pejabat Peguam Negara (A-GO) berkata bahawa penyelewengan dalam projek itu mengakibatkan kerugian keseluruhan sebanyak 8.03 trilion rupiah (AS$540 juta).

Mahkamah mendapati Plate bersalah kerana menyeleweng 10 bilion rupiah daripada projek tersebut.

A-GO melaporkan bahawa ia telah menemui penyelewengan dalam proses perolehan membabitkan syarikat tempatan dan asing dan menamakan lima suspek lain, termasuk seorang eksekutif anak syarikat gergasi telekomunikasi China Huawei.

Indonesia telah menahan beberapa pegawai awam kerana kesalahan rasuah dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada 2021, seorang bekas Menteri Hal Ehwal Sosial dipenjara selama 12 tahun selepas disabitkan kesalahan menerima rasuah $1.2 juta yang dikaitkan dengan bantuan makanan untuk keluarga miskin yang dilanda pandemik COVID-19.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN