TOKYO, 8 November - Menteri-menteri Luar G7 pada Rabu menggesa pemberhentian sementara perang Israel-Hamas bagi membenarkan bantuan dan pembebasan tebusan serta meminta "proses damai yang lebih luas", ketika tentera Israel meneruskan serangan di Semenanjung Gaza.
Pengumuman tersebut dibuat oleh para Menteri berkenaan pada satu mesyuarat di Tokyo.
"Kami menekankan keperluan untuk tindakan segera bagi menangani krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza.
“Kami menyokong pemberhentian sementara dan koridor kemanusiaan bagi memudahkan bantuan segera dan pembebasan tebusan," kata satu kenyataan bersama.
Kenyataan G7 cuba mengimbangi kritikan terhadap serangan dan sokongan Hamas terhadap Israel dengan desakan "tindakan segera" untuk membantu orang awam di kawasan Palestin yang terkepung, yang sangat memerlukan makanan, air, penjagaan perubatan dan tempat tinggal.
Dalam perkara berkaitan, mereka turut mengecam tindakan ganas peneroka Israel terhadap rakyat Palestin yang semakin meningkat.
Tambah kenyataan itu, keganasan berkenaan tidak boleh diterima dan menjejaskan keselamatan di Tebing Barat selain mengancam prospek untuk keamanan yang berkekalan di rantau Asia Barat.
Sekurang-kurangnya 154 rakyat Palestin telah terbunuh dan 2,150 ditangkap oleh tentera Israel di Tebing Barat yang diduduki sejak perang Israel-Hamas meletus sebulan lalu, menurut Persatuan Tahanan Palestin.-REUTERS