fb fb fb fb fb

Penipuan dalam talian, Kemboja hantar pulang 25 suspek warga Jepun

Foto Hiasan

PHNOM PENH, 8 November - Kemboja menghantar pulang 25 warga Jepun pada Rabu yang disyaki terlibat dalam operasi penipuan dalam talian.

Rangkaian sindiket penipuan telah menjadikan Kemboja, Myanmar dan beberapa tempat yang lain untuk menjalankan aktiviti penipuan dalam talian dengan melarikan mangsa untuk mendapatkan wang yang banyak.

Kebanyakannya menyasarkan mangsa warga China, namun pakar memberi amaran bahawa terdapat peningkatan penglibatan dari kumpulan "yakuza".

Jurucakap Polis Imigresen Kemboja, Keo Vanthan memberitahu AFP bahawa 25 suspek telah ditangkap di Phnom Penh pada September kerana "penipuan dalam talian" atas permintaan pihak berkuasa Jepun.

Sementara itu, jurucakap Polis Negara Kemboja, Chhay Kim Khoeun berkata suspek menyasarkan rakyat Jepun.

"Mereka melakukan beberapa aktiviti yang menjejaskan kepentingan orang Jepun," katanya kepada AFP.

Yakuza muncul daripada kemelut Jepun selepas perang, menjadi pertubuhan jenayah berbilion dolar yang terlibat dalam perjudian, dadah, pelacuran dan jenayah kolar putih.

"Seperti kumpulan jenayah lain di Asia Timur, mereka berada di bawah tekanan dan mencari peluang, dan Asia Tenggara, khususnya di Mekong telah menjadi tempat yang menarik untuk berniaga," kata Timbalan Wakil Serantau, Pejabat Narkotik dan Jenayah Pertubuhan Bangsa Bersatu, Benedikt Hofmann.

Beliau berkata, aktiviti yakuza mula meningkat sekitar 2017 dan menjadi lebih ketara dalam tempoh beberapa tahun yang lalu.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN