(Vicky Bowman dan suaminya, Htein Lin)
YANGON, 2 September- Junta Myanmar memenjarakan bekas duta Britain ke negara itu dan suaminya selama setahun pada Jumaat kerana melanggar peraturan imigresen.
Menurut sumber diplomatik kepada AFP, Vicky Bowman dan suaminya, pelukis terkenal Myanmar Htein Lin, masing-masing dijatuhi hukuman penjara setahun.
Bowman, yang berkhidmat sebagai duta dari 2002 hingga 2006, ditahan bulan lalu kerana gagal mengisytiharkan dia tinggal di alamat berbeza daripada yang disenaraikan dalam sijil pendaftaran warga asing.
Htein Lin ditahan kerana membantu isterinya tinggal di alamat berbeza dengan rumah berdaftar mereka di hab komersial Yangon.
Pasangan itu boleh dipenjara sehingga lima tahun.
Sebelum berkhidmat sebagai duta, Bowman adalah setiausaha kedua di kedutaan British dari 1990 hingga 1993.
Htein Lin telah ditangkap pada tahun 1998 dan dipenjarakan kerana menentang pemerintahan junta.
Hubungan antara Myanmar dan bekas pemerintah kolonial Britain merosot sejak rampasan kuasa tahun lalu, dengan London mengenakan beberapa pusingan sekatan ke atas perniagaan dan individu yang mempunyai hubungan dengan tentera. -AFP
(Vicky Bowman dan suaminya, Htein Lin)