fb fb fb fb fb

Beijing tawar subsidi barangan elektronik, tingkat perbelanjaan pengguna

FOTO REUTERS

BEIJING, 16 Januari - Beijing berharap pemberian subsidi untuk periuk nasi elektrik, ketuhar gelombang mikro dan telefon pintar mampu merangsang perbelanjaan yang perlahan serta membantu negara menghadapi cabaran ekonomi terutamanya dengan kehadiran Presiden Amerika Syarikat yang baharu, Donald Trump.

Pembuat dasar berdepan kesukaran menggalakkan pengguna di China, yang berjumlah lebih satu bilion menyuntik wang ke dalam ekonomi ketika krisis hartanah yang berpanjangan menjejaskan keyakinan.

Minggu lalu, kerajaan memperluaskan skim subsidi untuk barangan rumah, termasuk penapis air, peti sejuk, komputer riba dan kenderaan elektrik.

Di luar sebuah pusat beli-belah yang sibuk di Sanlitun salah satu kawasan komersial paling popular di Beijing, Li Ling, 25, memberitahu AFP bahawa dasar ini boleh menjadi satu "insentif".

"Jika bajet seseorang tidak terlalu besar, dasar seperti ini boleh membantu mereka mempertimbangkan untuk membeli sesuatu," katanya.

Beijing juga bimbang dengan pentadbiran kedua Donald Trump, yang telah berikrar untuk mengenakan tarif berat ke atas barangan China sebagai tindak balas terhadap amalan perdagangan Beijing yang dikatakan tidak adil, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap kemungkinan tercetusnya perang perdagangan baharu.

Pakar berkata, China mungkin perlu beralih kepada model pertumbuhan yang lebih bergantung kepada penggunaan domestik untuk mengatasi tekanan tersebut.

Bawah skim subsidi yang diperluaskan, rakyat boleh mendapatkan potongan 20 peratus untuk barangan seperti ketuhar gelombang mikro, penapis air, mesin pencuci pinggan, dan periuk nasi elektrik, dengan kerajaan menanggung diskaun sehingga 2,000 yuan (RM1,275).

Gajet seperti telefon pintar, tablet, dan jam tangan pintar juga kini menerima subsidi sehingga 15 peratus. - AFP

TETITIA YUSOFF