DEHRADUN, 6 Jun- Sekurang-kurangnya 22 orang maut, tujuh lagi cedera parah dan seorang hilang selepas sebuah bas terjunam ke dalam gaung di kawasan pergunungan di utara India.
Bas itu membawa 30 orang termasuk pemandu ke Yamunotri, tapak ziarah Hindu terpencil di negeri Himalaya Uttarakhand.
Kemalangan itu berlaku di Uttarkashi, kira-kira 100 batu (160 kilometer) dari ibu negeri Dehradun, dan bilik kawalan tempatan mengesahkan 22 kematian.
“Orang yang cedera telah dikejarkan ke kemudahan perubatan berhampiran,” kata ketua polis daerah Arpan Yaduvanshi kepada AFP.
Yaduvanshi menambah, petugas penyelamat masih mencari penumpang yang hilang dan angka kematian mungkin bertambah.
Uttarakhand terkanal dengan pemandangan indah mempunyai beberapa tapak Hindu yang paling suci dan menerima berjuta-juta penganut Hindu setiap tahun, tetapi mempunyai rangkaian jalan Himalaya yang tidak diselenggara dan berbahaya.
Menteri Dalam Negeri India, Amit Shah berkata, beliau sedang berhubung dengan pihak berkuasa tempatan mengenai bantuan yang sedang dijalankan untuk insiden "sangat menyedihkan".
Kira-kira 150,000 orang terbunuh setiap tahun dalam kemalangan jalan raya di India, menurut kerajaan.
Antara faktor utama yang menyumbang kepada jumlah kematian yang tinggi adalah memandu laju dan tidak menggunakan tali pinggang keledar atau memakai topi keledar.- AFP
FOTO TWITTER