OSLO, 26 Disember - Tiga terkorban manakala empat lagi cedera parah apabila sebuah bas yang membawa pelancong asing terjunam ke dalam tasik berhampiran selat Raftsundet, menurut pihak berkuasa tempatan pada Khamis.
Bas tersebut membawa seramai 58 orang penumpang yang terdiri daripada warga China, Perancis, India, Malaysia, Belanda, Norway, Singapura, dan Sudan Selatan.
"Pihak kami mengesahkan ramai daripada penumpang bas itu adalah warganegara asing," kata polis.
Kepulauan Lofoten merupakan destinasi popular pada musim sejuk untuk menyaksikan fenomena cahaya di utara Norway.
Operasi mencari dan menyelamat menjadi sukar dan mencabar ekoran cuaca buruk.
Beberapa penumpang yang terselamat telah dibawa ke pusat perlindungan sementara termasuk sebuah sekolah tempatan.
Sementara tiga lagi mangsa dihantar ke hospital dengan menggunakan helikopter.
"Keadaan cuaca yang buruk, termasuk tiupan angin kencang, menyukarkan operasi menyelamat," menurut kenyataan pihak polis tempatan.
Pegawai polis Nordland, Bent Are Eilertsen, yang dipetik oleh agensi berita NTB, berkata, fokus kini adalah memberikan rawatan kepada mangsa yang cedera.
"Siasatan akan dijalankan untuk menentukan punca kejadian," katanya.
Beliau berkata pihaknya menghadapi kesukaran menghubungi keluarga mangsa kerana tiada senarai lengkap penumpang dan ramai daripada mereka berasal dari negara berbeza. - AFP