fb fb fb fb fb

Jepun lulus belanjawan 2025 berjumlah AS$730 bilion

Foto REUTERS

TOKYO, 27 Disember-Kerajaan Jepun pada Jumaat meluluskan belanjawan sebanyak 115.5 trilion yen (kira-kira AS$730 bilion) untuk tahun kewangan bermula April 2025.

Belanjawan tersebut menekankan perbelanjaan ke atas kebajikan sosial dan pertahanan bagi menangani ancaman serantau serta populasi yang semakin menua.

Daripada jumlah itu, sebanyak 38.3 trilion yen diperuntukkan untuk keselamatan sosial, meningkat daripada 37.7 trilion yen tahun sebelumnya.

Dana tersebut akan disalurkan bagi menyokong sistem pencen, penjagaan kesihatan warga emas, dan faedah kebajikan lain.

Selain itu, kerajaan Jepun turut memperuntukkan 8.7 trilion yen untuk pertahanan bagi memperkukuh keselamatan negara.

Peruntukan itu termasuk usaha menarik lebih ramai anggota untuk Pasukan Pertahanan Jepun (SDF) dan meningkatkan hubungan antara tentera Jepun dan AS, terutamanya di Okinawa.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan Jepun menyatakan bahawa negara itu kini berhadapan dengan persekitaran keselamatan yang paling mencabar dan kompleks sejak Perang Dunia Kedua.

Ini mengulangi amaran Perdana Menteri Shigeru Ishiba mengenai keperluan memperkukuhkan pertahanan negara.

Sejak 2022, Jepun telah mengemas kini dasar keselamatan dan pertahanannya dengan lebih jelas menyoroti cabaran dari China.

Negara itu turut berjanji untuk menggandakan perbelanjaan pertahanannya kepada 2% daripada KDNK menjelang 2027, sejajar dengan piawaian NATO.

Peruntukan itu juga akan membiayai sistem pengumpulan maklumat satelit untuk mengesan peluru berpandu balistik, termasuk yang dilancarkan oleh Korea Utara, serta memantau pergerakan kapal di perairan berhampiran Jepun yang menjadi pertikaian dengan China.

Dalam perkembangan sama, Jepun juga berhadapan cabaran demografi yang serius akibat kadar kelahiran yang rendah dan pendekatan berhati-hati terhadap imigresen.

Pada tahun ini, 29.3% daripada populasi Jepun berumur 65 tahun ke atas, menjadikan negara itu antara masyarakat paling tua di dunia. Kerajaan berharap untuk menangani isu ini melalui pelaburan dalam kebajikan sosial dan sokongan terhadap warga emas.

Walau bagaimanapun, belanjawan itu masih perlu mendapat kelulusan parlimen.

Parti pemerintah Liberal Demokratik (LDP) dan rakan gabungannya, Komeito, memerlukan sokongan parti pembangkang selepas kehilangan majoriti dalam pilihan raya mengejut pada Oktober lalu.

Perdana Menteri Shigeru Ishiba kekal memegang jawatan walaupun memimpin gabungan tersebut ke keputusan pilihan raya terburuk dalam tempoh 15 tahun.

Satu lagi pilihan raya untuk memilih ahli dewan tertinggi parlimen dijadualkan berlangsung pada musim panas 2025.-AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD