fb fb fb fb fb

Barat Eropah terus dilanda gelombang haba akibat cuaca panas

(Foto fail/ AFP)

UNITED KINGDOM, 20 Jun- Sepanyol, Perancis dan negara lain di barat Eropah terus dilanda gelombang haba akibat cuaca panas terik, hujung minggu lalu, malah beberapa kebakaran hutan masih berlarutan.

Suhu tinggi itu selari dengan ramalan saintis bahawa fenomena cuaca berkenaan akan berlaku lebih awal, tahun ini, akibat pemanasan global.

Pasukan perkhidmatan kecemasan bertungkus lumus menjalankan operasi memadam beberapa kebakaran hutan di utara Sepanyol, semalam.

Kebakaran paling membimbangkan berlaku di kawasan pergunungan Sierra de Culebra yang memusnahkan lebih 25,000 hektar, setakat ini.

Bagaimanapun, suhu yang menurun pada sebelah malam sedikit sebanyak membantu usaha memadamkan api berkenaan.

Penduduk kira-kira 20 perkampungan yang terpaksa dipindahkan sebelum ini, dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing, pagi semalam, kata pegawai tempatan.

(Foto fail/ AFP)

Suhu melangkaui 40 darjah Celsius direkodkan di sebilangan bahagian Sepanyol sepanjang tempoh minggu lalu, namun mulai menurun menjelang semalam di kebanyakan kawasan negara itu.

Selain itu, kebakaran turut tercetus di Jerman yang mengalami suhu tinggi hingga mencecah 38 darjah Celsius di wilayah timur meliputi Brandenburg, Thuringia dan Saxony.

Bandar Cottbus mencatat rekod baharu suhu di Jerman, bulan ini, apabila mencecah 38.7 darjah Celsius.

Satu kebakaran di wilayah Brandenburg menyebabkan kira-kira 700 penduduk terpaksa dipindahkan, dengan insiden itu dilaporkan mengancam 'tiga per empat' daripada bandar Treuenbrietzen.

Wilayah Vorarlberg di Austria juga mencatat rekod suhu 36.5 darjah Celsius di Feldkirch, dengan institut meteorologi ZAMG memaklumkan bilangan hari mengalami suhu melepasi 30 darjah Celsius meningkat dua kali ganda bulan ini berbanding biasa. -AFP

Media Baharu