fb fb fb fb fb

Bantuan saksama kepada pelancong Rusia dan Ukraine yang terkandas di Thailand

THAILAND, 20 Mac - Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha mengarahkan agensi berkaitan untuk memberi bantuan yang saksama kepada pelancong Rusia dan Ukraine yang terkandas di negara itu, ketika berlakunya sekatan perjalanan dan sekatan lain berikutan konflik Rusia-Ukraine.

Jurucakap Kerajaan Thanakorn Wangboonkongchana berkata, Perdana Menteri prihatin terhadap kebajikan mereka dan mengikuti dengan teliti mengenai bantuan yang ditawarkan kepada warga Rusia dan Ukraine yang terkandas di negara itu.

Kementerian Pelancongan dan Sukan menganggarkan kira-kira 7,000 warga Rusia dan 1,000 warga Ukraine terkandas di lokasi seperti wilayah Phuket dan Surat Thani.

Pelancong Rusia yang terkandas telah mendapatkan bantuan untuk melanjutkan tempoh penginapan mereka di Thailand, dengan Pejabat Imigresen membuat penyelarasan dengan Kedutaan Rusia di Thailand.

(FOTO FAIL)

Kementerian Pelancongan dan Sukan juga menyediakan tempat tinggal, makanan dan lain-lain yang diperlukan untuk pelancong Rusia dan Ukraine.

Mengenai masalah bayaran pula, Kementerian Kewangan dan Bank of Thailand (BoT) juga menjalankan publisiti untuk memaklumkan pelancong yang terjejas mengenai sistem pemindahan wang alternatif yang boleh didapati di bank perdagangan dan institusi kewangan bukan bank.

Pelancong juga akan dimaklumkan mengenai saluran pemindahan wang yang lain, melalui bank perdagangan, rangkaian perniagaan pelancongan dan Persatuan Pelancongan Phuket dan Persatuan Hotel Thai Bahagian Selatan.

Awal bulan ini, Visa dan Mastercard mengumumkan menggantung operasi masing-masing di Rusia berikutan pencerobohannya ke atas Ukraine, menyukarkan beribu-ribu rakyat Rusia.

Media Baharu