fb fb fb fb fb

Bantuan ke Gaza masih perlahan walaupun gencatan senjata bermula

Konvoi bantuan kemanusiaan ke Gaza perlu melalui pemeriksaan ketat oleh tentera Israel/REUTERS

GAZA, 15 Oktober - Pergerakan konvoi lori yang membawa bantuan kemanusiaan ke pintu masuk Gaza melalui lintasan Rafah masih perlahan.

Menurut pemerhati China Media Group (CMG), proses pemeriksaan yang rumit dan memakan masa menjadikan aliran bantuan sangat perlahan.

Berdasarkan perjanjian, Israel sebelum ini bersetuju untuk membenarkan akses bantuan kemanusiaan tanpa halangan.

Namun laluan menuju ke lintasan itu perlu melalui pangkalan tentera Israel dengan beberapa kenderaan tentera rejim berkawal ketat.

Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan sebanyak 170,000 tan makanan, ubat-ubatan dan bantuan lain sepatutnya dihantar ke Gaza dalam tempoh 60 hari selepas gencatan senjata berkuat kuasa.

Ini memerlukan ratusan lori tambahan setiap hari serta sekurang-kurangnya 1.9 juta liter bahan api setiap minggu.

Pejabat Media Gaza berkata hanya 173 lori bantuan yang berjaya masuk setakat 12 Oktober lepas, jumlah itu jauh lebih rendah daripada keperluan sebenar. - REUTERS

SITI AISHA MELISA YUHANIZ