fb fb fb fb fb

Bantuan EU berbilion Euro kepada Jordan, sokongan kestabilan politik, ekonomi

Presiden Suruhanjaya Kesatuan Eropah (EU), Ursula Von Der Leyen / AFP

BRUSSELS, 29 Januari- Suruhanjaya Eropah pada Rabu mengumumkan sokongan terhadap kestabilan politik dan ekonomi Jordan dengan bantuan berjumlah €3 bilion (US$3.1 bilion) dalam tempoh tiga tahun akan datang, lapor agensi berita Jerman dpa.

"Jordan telah menunjukkan kemurahan hati luar biasa dengan menampung jutaan pelarian dan komited sepenuhnya terhadap usaha mempromosikan keamanan serta keselamatan di rantau ini dan di peringkat global," kata Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen dalam pertemuan bersama Raja Jordan, Raja Abdullah II di Brussels.

"Jordan memainkan peranan penting dalam usaha mengukuhkan gencatan senjata di Gaza," kata von der Leyen, sambil menekankan peranan negara itu dalam menyokong peralihan di Syria selepas kejatuhan pemerintahan Bashar al-Assad.

Bantuan berbilion euro daripada Kesatuan Eropah (EU) itu adalah sebahagian daripada perjanjian mengenai perkongsian strategik komprehensif baharu antara EU dan Jordan.

Perjanjian itu merangkumi kerjasama yang dipertingkatkan dalam memerangi keganasan, penyeludupan dadah dan jenayah terancang, serta isu migrasi.

Jordan merupakan antara negara yang memiliki jumlah pelarian tertinggi mengikut nisbah penduduk, dengan ramai rakyat Palestin dan Syria berlindung di negara itu.

Menurut EU, pakej sokongan itu merangkumi €640 juta dalam bentuk geran, €1.4 bilion untuk pelaburan, dan €1 bilion dalam bentuk pinjaman bagi bantuan ekonomi.- BERNAMA-dpa

ROSLINA BINTI DIN