fb fb fb fb fb

Bank Dunia tubuh dana perangi pandemik masa depan

WASHINGTON, 1 Julai- Lembaga Bank Dunia semalam meluluskan penubuhan dana yang bertujuan untuk membiayai pelaburan bagi memperkukuh usaha memerangi pandemik.

Bank itu dalam satu kenyataan berkata, dana itu akan menyokong pencegahan, kesediaan dan tindak balas atau PPR dengan tumpuan kepada negara berpendapatan rendah dan sederhana.

"Kos manusia, ekonomi dan sosial yang merugikan akibat COVID-19 menyerlahkan keperluan mendesak untuk tindakan yang diselaraskan bagi membina sistem kesihatan lebih kukuh serta menggerakkan sumber tambahan," katanya.

Tambah Bank Dunia, dana itu dibuka pada akhir tahun ini dan dibangunkan bawah kepimpinan Amerika Syarikat (AS), Itali dan Indonesia, sebagai sebahagian daripada tanggungjawab jawatan Presiden G20 serta melalui sokongan meluas daripada G20.

Ia akan digunakan dalam beberapa bidang, termasuk pengawasan penyakit, dengan lebih daripada AS$1 bilion (RM4.4 bilion) komitmen diumumkan.

"Bank Dunia adalah penyedia pembiayaan terbesar untuk PPR dengan operasi aktif di lebih 100 negara membangun untuk mengukuhkan sistem kesihatan mereka," kata Presiden Bank Dunia, David Malpass, dalam kenyataan itu.

Dana perantara kewangan (FIF) itu akan menyediakan pembiayaan untuk 'melengkapkan tindakan institusi sedia ada dalam menyokong negara dan wilayah berpendapatan rendah serta sederhana untuk bersedia menghadapi pandemik seterusnya," kata Bank Dunia.

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, mereka adalah pemegang taruh dalam projek itu dan akan menyediakan kepakaran teknikal.


(Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus/ AFP)

Dalam satu kenyataan berasingan, Setiausaha Perbendaharaan AS, Janet Yellen, menyebut dana itu sebagai 'pencapaian utama yang akan membantu negara berpendapatan rendah dan sederhana untuk lebih bersedia menghadapi pandemik seterusnya'.

"Walaupun kami terus berusaha untuk menamatkan COVID-19, namun keputusan hari ini oleh pemegang saham Bank Dunia akan membantu meningkatkan kapasiti untuk mencegah, mengesan dan bertindak balas terhadap wabak masa depan," katanya.

Jurucakap Bank Dunia memberitahu AFP, sekiranya pandemik COVID-19 masih berterusan dan dana itu dilaksanakan, ia boleh digunakan untuk memberikan sokongan terhadap pandemik semasa dan masa depan. -AFP

Media Baharu