fb fb fb fb fb

Keganasan: Polis Maghribi tahan lebih 80 penyokong bola sepak

(GAMBAR FAIL/ AFP)

RABAT, 1 Julai- Polis Maghribi menahan lebih 80 orang penyokong dalam keganasan yang tercetus ketika kejohanan bola sepak di Casablanca dan Oudja.

Di Casablanca, polis menahan 45 orang pada Rabu, termasuk 31 di bawah umur, disyaki melakukan keganasan dan kerosakan terhadap harta awam.

Insiden berkenaan berlaku ketika perlawanan antara Raja Casablanca dan Royal Armed Forces (FAR), di mana empat anggota polis cedera akibat dibaling batu dan dua kereta dirosakkan.

Di kota Oudja, 39 penyokong ditahan kerana bertindak ganas, mencuri atau memiliki senjata tajam ketika perlawanan antara Mouloudia Oujda dan Wydad Casablanca.

Pertembungan itu menyaksikan 60 anggota polis cedera ringan dan seorang pengawal keselamatan terpaksa dikejarkan ke hospital.

Sebelum itu keganasan turut tercetus di Rabat dan Agadir di mana lapan penyokong menerima hukuman penjara empat bulan sehingga setahun.

Bola sepak Maghribi sering dicemari insiden keganasan penyokong, terutama membabitkan pasukan Wydad dan Raja.

Selepas dua penyokong terkorban pada awal tahun 2016, pihak berkuasa mengharamkan kumpulan penyokong ultras dan melarang kemasukan slogan serta sepanduk mereka ke dalam stadium.

Bagaimanapun peraturan itu dilonggarkan pada tahun 2018. - AFP


(Kenderaan tentera melakukan rondaan di sekitar Casablanca di Maghribi/ AP)

Media Baharu