BANGKOK, 28 November- Seorang maut manakala ribuan lagi penduduk dipindahkan dalam insiden banjir di selatan Thailand.
Ketua Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana Wilayah, Wasan Chaitaweewong, berkata mangsa yang maut adalah seorang pelajar di wilayah Narathiwat.
"Lebih 2,700 orang telah dipindahkan. Hujan berterusan turut memaksa penutupan 65 sekolah," katanya kepada AFP.
Hujan lebat selama tiga hari menyebabkan banjir di selatan Thailand, dengan lebih banyak hujan dijangka berlaku.
Amaran hujan lebat masih berkuat kuasa, dengan ramalan hujan berterusan di 70 peratus kawasan wilayah itu sehingga awal Disember, menurut Jabatan Meteorologi Thailand.
Lebih 500 anggota tentera dan sukarelawan telah dikerahkan untuk mengagihkan kit bantuan dan membantu memindahkan penduduk terjejas banjir.
Gabenor Narathiwat, Trakul Totham, berkata sebuah pasukan telah ditubuhkan untuk mempercepatkan proses saliran air di kawasan terjejas.
Seorang pekerja kedai pakaian meluahkan kekecewaan selepas stok barangannya musnah akibat banjir.
"Air datang dari bahagian belakang, dan kami tidak sempat bersedia," katanya kepada media tempatan, Amarin TV.
Banjir besar pada 2011 di Thailand telah meragut lebih 500 nyawa dan merosakkan jutaan rumah di seluruh negara itu. – AFP