fb fb fb fb fb

Banjir Pakistan: Ribuan penduduk diarah berpindah

(Banyak tebing sungai di Khyber Pakhtunkhwa yang merupakan wilayah pergunungan telah pecah
sekali gus memusnahkan banyak bangunan termasuk hotel)

MINGORA, 28 Ogos - Ribuan penduduk yang tinggal berhampiran sungai di utara Pakistan diarah berpindah apabila situasi banjir besar yang berlaku itu kini telah meragut hampir 1,000 nyawa.

Banyak tebing sungai di Khyber Pakhtunkhwa yang merupakan wilayah pergunungan telah pecah sekali gus memusnahkan banyak bangunan termasuk hotel.

Musim monsun adalah penting untuk mengairi tanaman dan menambah air tasik dan empangan, bagaimana pun setiap tahun ia membawa kepada gelombang kemusnahan.

Menurut pihak berkuasa, banjir monsun tahun ini telah menjejaskan lebih 33 juta orang selain memusnahkan atau merosakkan hampir 1 juta rumah.

Banjir tahun ini dikatakan hampir sama yang berlaku pada tahun 2010 apabila lebih 2,000 orang maut dan hampir satu perlima daripada negara itu ditenggelami air.

Ramai pihak menyalahkan bencana alam ini adalah hasil perubahan iklim akibat perbuatan manusia yang menyebabkan Pakistan terpaksa menanggungnya.


(Banjir besar yang berlaku di utara Pakistan kini telah meragut hampir 1,000 nyawa)

Sementara itu Perdana Menteri Pakistan, Muhammad Shehbaz Sharif yang telah mengadakan lawatan ke wilayah yang dilanda banjir merayu individu kaya untuk membantu penduduk terjejas.

Menerusi lawatan itu beliau telah diberi taklimat terperinci mengenai situasi dan usaha bantuan.

Dilaporkan di beberapa kawasan orang ramai mengadu tidak mendapat sebarang bantuan kerajaan selepas rumah mereka musnah akibat banjir.

Pemimpin Pakistan turut merayu bantuan komuniti antarabangsa selain merancang untuk melancarkan dana rayuan antarabangsa.

Situasi banjir terburuk itu turut disertai pasukan tentera dalam memberi respons segera berhubung operasi menyelamat.

Media Baharu