fb fb fb fb fb

Banjir monsun ragut 850 nyawa, 1.5 juta terjejas di Pakistan

Lebih 1,400 kampung di timur laut Pakistan ditenggelami air.

LAHORE, 1 September - Lebih 1.5 juta penduduk di timur laut Pakistan terjejas termasuk di Lahore dan Sialkot, susulan banjir besar akibat hujan monsun berterusan dan pelepasan air dari empangan India.

Menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Punjab, limpahan air daripada Sungai Ravi, Sutlej dan Chenab memaksa pihak berkuasa memecahkan beberapa benteng sungai, sekali gus menyebabkan lebih 1,400 kampung ditenggelami air.

Setakat ini, lebih 850 orang terkorban di seluruh negara sepanjang musim monsun, manakala ribuan keluarga kehilangan tempat tinggal dan terpaksa berlindung di khemah sementara.

Mohammad Anees, salah seorang mangsa banjir di Lahore, berkata air naik mendadak sehingga mencecah hampir dua tingkat bangunan.

“Air datang terlalu laju, kami tidak sempat menyelamatkan barangan. Kini kawasan itu tidak boleh dimasuki dan kami terpaksa tinggal di khemah di tepi jalan,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Mohammad Nazir, pula menceritakan kerugian besar yang dialami.

“Rumah saya hanyut, tidak ada satu pun yang selamat. Segala barangan termasuk panel solar dan motosikal musnah ditelan air,” ujarnya.

Di Sialkot, operasi menyelamat dijalankan menggunakan bot dan kenderaan tentera bagi memindahkan penduduk yang terperangkap.

India sebelum ini mengeluarkan tiga amaran banjir kepada Pakistan, dengan menyifatkannya sebagai langkah kemanusiaan.

TUN JULIA MOHD TAHIR