JAKARTA, 14 Mei- Jumlah angka korban akibat banjir kilat dan aliran lava sejuk dari gunung berapi di barat Indonesia pada hujung minggu meningkat kepada 50 orang dengan 27 lagi masih hilang, kata Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB).
“Berdasarkan laporan, mangsa yang maut akibat bencana itu direkodkan kepada 50 orang, 27 hilang, 37 cedera, manakala 3,396 orang dipindahkan,” kata Suharyanto. Ketua BNPB.
Suharyanto berkata angka kematian mungkin meningkat lagi dan menggesa peralatan berat dikerahkan bagi membantu usaha mencari.
Beliau berkata penghantaran bantuan sedang dijalankan menggunakan laluan udara dan darat serta jambatan kecemasan selepas banjir dan aliran lahar sejuk menyebabkan beberapa laluan jalan raya di kawasan yang paling teruk dilanda banjir.
Hujan lebat berjam-jam menyebabkan banjir di dua daerah di pulau Sumatera pada petang Sabtu, mengancam keselamatan beribu-ribu orang penduduk selepas hujan lebat yang membawa lava dan batu besar menuruni Gunung Marapi, gunung berapi paling aktif di pulau Sumatera.
Lava sejuk, juga dikenali sebagai lahar, adalah bahan gunung berapi seperti abu, pasir dan kerikil yang dibawa menuruni cerun gunung berapi oleh hujan.
Indonesia terdedah kepada tanah runtuh dan banjir semasa musim hujan.
Pada 2022, kira-kira 24,000 orang telah dipindahkan dan dua kanak-kanak terbunuh dalam tragedi banjir di pulau Sumatera, dengan kempen alam sekitar menyalahkan penebangan hutan yang disebabkan oleh pembalakan yang memburukkan lagi bencana.-AFP