WELLINGTON, 14 Mei- Suruhanjaya Tinggi Perancis pada Selasa memaklumkan bahawa New Caledonia mengenakan perintah berkurung dan menutup operasi lapangan terbangnya susulan protes di ibu negara itu.
Situasi itu bertukar ganas, sehingga pihak polis telah menjadi mangsa serangan.
Protes tercetus di New Caledonia menjelang undian di Perhimpunan Kebangsaan Perancis mengenai perubahan kepada perlembagaan New Caledonia.
Pergolakan itu turut mendorong Menteri Luar New Zealand, Winston Peters menangguhkan lawatan pada minggu ini ke negara pulau itu.
Jelas jurucakapnya, ia akan membolehkan pihak berkuasa memberi tumpuan kepada situasi semasa.
“Kami mengetahui peristiwa di New Caledonia, dan berharap keamanan dan ketenangan akan berlaku,” kata jurucakap itu.
Video menunjukkan polis membuat rondaan di jalanan di antara kereta yang terbakar dan kepulan asap, selepas penunjuk perasaan membuat sekatan di jalan utama pada Isnin.
Suruhanjaya itu berkata dalam satu kenyataan bahawa gangguan berlaku di ibu negara, Noumea dan sekitar bandar.
"Pasukan keselamatan telah digerakkan, semua perhimpunan telah diharamkan di kawasan Noumea dan larangan minuman keras telah dilaksanakan," kata kenyataan itu.
Perintah berkurung akan dikenakan mulai pukul 6.00 petang waktu tempatan pada Selasa hingga pukul 6.00 pagi pada hari Rabu di Noumea.
"Lapangan terbang antarabangsa di Noumea telah ditutup dan semua penerbangan komersial dibatalkan," kata pengendali lapangan terbang itu dalam satu kenyataan pada Selasa.- REUTERS