CALIFORNIA SELATAN, 27 Disember- Hujan lebat selama tiga hari yang mencetuskan banjir kilat dan tanah runtuh di California Selatan mula reda pada Jumaat.
Penduduk di kawasan pergunungan Wrightwood memulakan kerja pembersihan lumpur serta pegawai kerajaan menilai kerosakan harta benda.
Wrightwood, sebuah bandar peranginan pergunungan dengan kira-kira 5,000 penduduk di Banjaran San Gabriel, timur laut Los Angeles, terjejas paling teruk akibat ribut berkenaan.
Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) memaklumkan kawasan lembangan Los Angeles menerima taburan hujan sehingga enam inci, manakala kawasan pergunungan rendah di timur bandar itu merekodkan hujan setinggi 12 inci atau lebih.
Beberapa buah rumah dan kenderaan dilitupi lumpur tebal, ketika jentera berat dikerahkan bagi membersihkan jalan raya yang tersumbat akibat aliran lumpur yang melanda sejak malam Krismas.
Jurucakap Jabatan Bomba Daerah San Bernardino, Ryan Beckers berkata puluhan rumah mengalami kerosakan teruk dan pasukan kecemasan telah menyelamatkan kira-kira dua puluh individu yang terperangkap.
Namun, tiada kematian atau kecederaan serius dilaporkan.
NWS menjangkakan cuaca di California Selatan kembali kering sepanjang hujung minggu ini, manakala ribut musim sejuk besar dijangka membawa taburan salji pada paras rekod di beberapa kawasan di negeri New York bermula malam Jumaat. -REUTERS