BEIRUT, 27 Disember - Kerajaan Lubnan pada Jumaat meluluskan draf undang-undang bagi mengagihkan kerugian kewangan akibat krisis ekonomi 2019, yang telah menyebabkan ramai rakyat negara itu kehilangan akses kepada simpanan mereka, meskipun mendapat tentangan kuat daripada tokoh politik dan pihak perbankan.
Draf undang-undang tersebut merupakan keperluan utama komuniti antarabangsa, yang meletakkan syarat pembaharuan kewangan sebagai prasyarat untuk sebarang bantuan ekonomi kepada Lubnan.
Rang undang-undang itu kini akan dikemukakan kepada Parlimen untuk kelulusan sebelum boleh dikuatkuasakan.
Kabinet meluluskan draf berkenaan dengan 13 menteri menyokong dan sembilan menentang.
Ia menetapkan bahawa kerugian akibat krisis kewangan akan dikongsi antara kerajaan, bank pusat, bank komersial dan pendeposit.
Perdana Menteri Nawaf Salam berkata undang-undang itu “tidak sempurna dan mungkin tidak memenuhi semua harapan”, namun menyifatkannya sebagai langkah realistik dan adil ke arah memulihkan hak pendeposit, menghentikan kemerosotan ekonomi serta menyembuhkan sektor perbankan.
Menurut anggaran kerajaan, kerugian akibat krisis tersebut berjumlah kira-kira AS$70 bilion, angka yang dijangka meningkat selepas krisis berlarutan hampir enam tahun tanpa penyelesaian menyeluruh.
Salam menjelaskan bahawa pendeposit yang memiliki simpanan kurang daripada AS$100,000, yang merangkumi 85 peratus daripada keseluruhan akaun, akan dapat memperoleh kembali simpanan mereka sepenuhnya dalam tempoh empat tahun.
Pendeposit berskala besar pula akan menerima AS$100,000 secara tunai, manakala baki simpanan mereka akan digantikan melalui bon boleh diniagakan, yang disokong oleh aset bank pusat.
Menurut Salam, portfolio bank pusat dianggarkan bernilai sekitar AS$50 bilion.
Beliau turut menegaskan rang undang-undang itu buat pertama kali memperkenalkan mekanisme akauntabiliti dan pengawasan, termasuk tindakan terhadap individu yang memindahkan dana sebelum kejatuhan kewangan 2019 dengan menyalahgunakan kedudukan atau pengaruh.
“Semua pihak yang mendapat keuntungan berlebihan atau bonus melampau akan dipertanggungjawabkan dan diwajibkan membayar pampasan sehingga 30 peratus daripada jumlah tersebut,” katanya.
Menjawab bantahan pihak perbankan yang mendakwa undang-undang itu memberi beban besar kepada bank, Salam berkata ia juga bertujuan menghidupkan semula sektor perbankan melalui penilaian aset dan proses permodalan semula bank.
Perancis, yang berulang kali menyatakan sokongan terhadap pembaharuan ekonomi Lubnan, menyambut baik kelulusan draf undang-undang berkenaan dan menyifatkannya sebagai langkah pertama penting untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap sistem perbankan negara.
Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), yang memantau rapat penyediaan rang undang-undang tersebut, sebelum ini menegaskan keperluan memulihkan daya tahan sektor perbankan selaras dengan piawaian antarabangsa serta melindungi pendeposit kecil.
Parlimen Lubnan sebelum ini meluluskan undang-undang pembaharuan kerahsiaan perbankan pada April, diikuti undang-undang penstrukturan semula sektor perbankan pada Jun, sebagai sebahagian daripada pakej pembaharuan kewangan.
Namun, pemerhati politik berpendapat peluang rang undang-undang pengagihan kerugian ini diluluskan Parlimen sebelum pilihan raya legislatif pada Mei adalah rendah. - AFP