fb fb fb fb fb

Banjir kilat di Inner Mongolia ragut 8 nyawa, 4 masih hilang

Foto fail/AFP

BEIJING, 17 Ogos -Sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh manakala empat lagi masih hilang akibat banjir kilat yang melanda wilayah Inner Mongolia, China, lapor media rasmi negara itu pada Ahad.

Menurut agensi berita Xinhua, kejadian berlaku kira-kira pukul 10.00 malam Sabtu, ketika sekumpulan 13 individu sedang berkhemah di kawasan terbuka di Urat Rear Banner, Inner Mongolia,

Hingga pagi Ahad, seorang mangsa telah berjaya diselamatkan dan operasi mencari serta menyelamat bagi baki yang hilang masih diteruskan, tambah Xinhua.

Kementerian Pengurusan Kecemasan China mengarahkan usaha menyelamat digiatkan sepenuhnya, termasuk pengesahan status mangsa yang hilang.

Sebuah pasukan khas turut dihantar ke lokasi kejadian, menurut penyiar nasional CCTV.

China kerap berdepan bencana alam, khususnya pada musim panas, apabila sesetengah wilayah mengalami hujan lebat manakala kawasan lain dilanda gelombang haba melampau. - AFP

TETITIA YUSOFF