BRISBANE, 23 Februari- Seorang ditemukan mati di dalam kereta yang ditenggelami air dan 10 orang dilaporkan hilang dalam kejadian banjir kilat di timur Australia.
Pihak berkuasa turut mengeluarkan amaran kecemasan di bahagian Pantai Pasifik.
Mayat mangsa berumur 60 tahun itu ditemukan pada awal pagi hari ini di negeri Queensland, menurut Perdana Menterinya, Annastacia Palaszczuk kepada parlimen dan menyifatkan kejadian itu sebagai satu ‘tragedi’.
Hampir setengah meter atau kira-kira 1.5 kaki penurunan hujan direkodkan di beberapa bahagian di negeri itu dalam tempoh 24 jam terakhir, menyebabkan beberapa jalan ditutup dan pengangkutan awam terjejas.
Perkhidmatan kecemasan menerima lebih 100 panggilan kecemasan dan anggota penyelamat di air telah dihantar bagi menyelamatkan puluhan penduduk yang terperangkap.
“Ia berpotensi kepada penurunan hujan yang ketara di tenggara Queensland, kata Palaszczuk.
(Penduduk berjalan kaki ketika hujan lebat di pusat bandar Sydney yang turut menyaksikan beberapa kawasan dinaiki air pada 22 Februari 2022/AFP)
Memetik laporan media tempatan, Polis Daerah Shunshine Coast, Superintenden Craig Hawkins berkata 10 orang dilaporkan hilang.
15 empangan di Queensland kini berada pada paras kapasiti penuh dengan jangkaan hujan dalam tempoh beberapa hari akan datang.
Sehubungan itu, polis mengeluarkan amaran kepada penggunaa jalan raya supaya mengelak laluan yang dinaiki air atau tidak keluar rumah.
Hujan lebat juga melanda negeri New South Wales manakala beberapa kawasan di Sydney turut dinaiki air pada Selasa. -AFP