fb fb fb fb fb

Banjir: Enam orang terkorban, puluhan ribu penduduk terjejas di selatan Thailand

Banjir di Narathiwat, selatan Thailand/AFP

BANGKOK, 27 Disember- Sekurang-kurangnya enam orang terkorban dan puluhan ribu penduduk terjejas dalam insiden banjir di selatan Thailand.

Menurut pegawai wilayah, banjir yang bermula pada 22 Disember lalu, melibatkan lebih 70,000 rumah di seluruh wilayah Satun, Songkhla, Pattani, Yala dan Narathiwat.

Timbalan Gabenor Wilayah Preecha Nualnoi berkata enam orang termasuk seorang wanita berusia 89 tahun dan seorang kanak-kanak terkorban di Narathiwat. Manakala seorang lagi dilaporkan masih hilang.

"Hujan lebat selama beberapa hari, menyebabkan banjir yang mencecah kira-kira tiga meter di beberapa tempat", katanya.

"Perkhidmatan kereta api di wilayah Narathiwat, yang bersempadan dengan Malaysia, yang tergendala sementara, telah disambung semula kerana berlakunya pergerakan tanah.

Media tempatan menyiarkan rakaman jalan-jalan ditenggelami air dan penduduk berlindung di atas bumbung.

Pasukan bantuan membantu menyediakan air minuman dan makanan ringan serta memeriksa bangunan untuk melihat kerosakan atau kemalangan jiwa.

Sementara itu, Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana Thailand berkata paras air telah menunjukkan penurunan pagi tadi.

Pada tahun 2011, banjir telah mengorbankan ratusan penduduk dan merosakkan berjuta-juta rumah di seluruh negara.-AFP

ROSLINA BINTI DIN