BEIJING, 24 Jun- Sekurang-kurangnya empat orang maut manakala seorang lagi hilang dalam kejadian banjir di tengah China.
Menurut Pusat Meteorologi Kebangsaan (NMC), hujan lebat berterusan diramal berlaku sehingga Khamis di beberapa wilayah merentasi tengah, timur dan selatan China.
"NMC juga mengeluarkan amaran merah, bahawa hujan yang sangat lebat boleh berlaku di bahagian wilayah Anhui, Jiangxi dan Zhejiang sehingga pada pukul 2.00 petang esok.
"Kawasan berkenaan mampu menerima taburan hujan dengan paras purata 250 millimeter (mm) hingga 400mm," menurut kenyataan itu.
Terdahulu, hujan lebat minggu lalu di wilayah Guangdong, selatan China telah menyebabkan sekurang-kurangnya 38 orang terkorban akibat banjir dan tanah runtuh.
Dalam pada itu, menurut agensi berita Xinhua, lebih 54,000 orang telah dipindahkan semalam berikutan banjir di Huangshan.
Ribuan tempat pelancongan turut ditutup akibat banjir berkenaan.
China telah mengalami keadaan cuaca yang melampau dan suhu yang tinggi dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Para saintis berkata perubahan iklim didorong oleh pelepasan gas rumah hijau telah menjadikan cuaca ekstrem lebih kerap. - AFP