fb fb fb fb fb

Israel terus serang Palestin, lima lagi terbunuh

Foto AFP

GAZA, 24 Jun- Sekurang-kurangnya lima rakyat Palestin terbunuh dalam serangan berterusan Israel yang menyasarkan ibu pejabat Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) di barat laut Gaza.

AFP yang memetik agensi berita Palestin WAFA berkata insiden turut menyebabkan tujuh lagi rakyat Palestin, termasuk wanita dan kanak-kanak mengalami kecederaan.

Mereka yang cedera telah dibawa ke Hospital al-Ahli di Gaza.

Saksi yang juga penduduk Palestin, Mahmoud Abu Diya berkata ketika kejadian orang ramai sedang berkumpul di hadapan ibu pejabat itu untuk mendapatkan bekalan air bersih.

"Penduduk Palestin terutama kanak-kanak dikumpulkan untuk mendapatkan air apabila tempat tinggal mereka telah dibom.

"Tempat tersebut dibom dengan dua peluru berpandu," katanya kepada pemberita.

Terdahulu, TV Al-Aqsa melaporkan bahawa lapan orang terbunuh dalam serangan udara Israel ke atas sebuah rumah di kejiranan al-Sabra, selatan Gaza.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza pada Ahad, 37,598 rakyat Palestin telah terbunuh manakala 86,032 lagi cedera sejak konflik Israel-Hamas bermula pada 7 Oktober lalu. - AFP

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM