fb fb fb fb fb

Banjir di India, lebih 50 orang maut

(Foto AFP)

KOLKATA, 7 Oktober- Sekurang-kurangnya 56 orang disahkan maut dalam banjir yang melanda timur laut India pada Sabtu.

Pesuruhjaya bantuan kerajaan, Anilraj Rai berkata hujan lebat menyebabkan tebing tasik glasier Himalaya pecah.

"Arus kuat melanda negeri Sikkim pada Rabu lalu. Setakat ini, 26 mayat telah ditemukan di negeri itu," kata Rai kepada AFP melalui panggilan telefon.

Dalam pada itu, menurut Penguasa Polis Daerah Jalpaiguri K. Umesh Ganpat, 30 lagi mayat telah ditemukan di lembangan sungai Teesta oleh pasukan mencari dan menyelamat.

"Operasi mencari dan menyelamat mangsa hilang akan diteruskan di sungai sepanjang 86 kilometer itu. Antara yang maut ialah tujuh tentera India yang ditempatkan di Sikkim. 16 orang askar lagi hilang dan mereka merupakan antara lebih 100 orang yang masih hilang," katanya kepada AFP.

Menurut media tempatan, lebih 1,200 rumah telah rosak akibat banjir berkenaan.

Lebih 2,400 orang telah diselamatkan manakala hampir 7,000 yang lain berlindung di kem sementara yang didirikan di sekolah, pejabat kerajaan dan rumah tumpangan.- AFP


(Foto AFP)

Media Baharu