fb fb fb fb fb

Banjir di Brazil, angka kematian meningkat kepada 107 orang

Angka kematian akibat banjir teruk di selatan Brazil meningkat kepada 107 orang / Foto Reuters

PORTO ALEGRE, 10 Mei - Angka kematian akibat banjir teruk di selatan Brazil meningkat kepada 107 orang.

Jabatan Pertahanan Awam Brazil berkata ketika ini operasi menyelamat masih lagi diteruskan dan pihak berkuasa mula melihat kos pemulihan daripada kemusnahan di negeri Rio Grande do Sul itu.

Lebih banyak hujan diramal dalam beberapa hari akan datang sekali gus meningkatkan kebimbangan bahawa paras air akan meningkat di ibu negeri Porto Alegre.

Sekurang-kurangnya, seramai 136 orang masih hilang dan lebih 165,000 kehilangan tempat tinggal.

Banjir telah memusnahkan infrastruktur dan jambatan, menghalang akses ke Porto Alegre.

Gabenor, Eduardo Leite berkata pengiraan awal menunjukkan bahawa Rio Grande do Sul memerlukan sekurang-kurangnya 19 bilion reais (AS$3.68 bilion) untuk pembinaan semula daripada kerosakan akibat bencana yang telah meluas ke kawasan ladang di sekitar ibu negara.

“Kesan banjir dan tahap tragedi itu amat mendukacitakan,” katanya di media sosial.

Di Brasilia, kerajaan persekutuan menganggarkan impak fiskal banjir pada 7.7 bilion reai (AS$1.49 bilion), kebanyakannya disebabkan suntikan dana ke dalam program sokongan untuk perniagaan kecil yang dilanda banjir.

"Ini tidak berakhir di sini," kata Presiden, Luiz Inacio Lula da Silva pada satu acara mengumumkan langkah-langkah untuk membantu negeri yang dilanda itu. Lula berkata sejauh mana keperluan Rio Grande do Sul akan diketahui hanya apabila air surut.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN