fb fb fb fb fb

Banjir buruk di Bangladesh, India: 42 maut, jutaan terkandas

(Seorang kanak-kanak lelaki mengharungi kawasan banjir di bahagian
timur laut di Sylhet, Bangladesh, 19 Jun 2022/REUTERS)


SYLHET, 20 Jun- Sekurang-kurangnya 25 orang terkorban akibat banjir buruk yang melanda Bangladesh sementara berjuta penduduk lagi terpaksa meninggalkan kediaman mereka.

Di Assam, India pula sekurang-kurangnya 17 orang terkorban akibat banjir buruk yang bermula sejak awal bulan ini, kata polis pada Ahad.

Menurut ketua Pusat Ramalan Banjir dan Amaran Bangladesh, Arifuzzaman Bhuiyan kebanyakan sungai di negara itu telah melepasi paras bahaya.

Ribuan anggota polis dan tentera telah dikerah ke beberapa kawasan bagi membantu dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa.

Lebih 3.1 juta penduduk terkandas dan 200,000 mangsa kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara.

Di timur laut Sylhet, ribuan mangsa banjir mencari perlindungan di pusat pemindahan sementara disebabkan banjir dari sungai yang melimpah telah menyebabkan kerosakan besar pada ladang dan harta benda.

Penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Osmani di Sylhet dibatalkan sementara Lebuhraya Sylhet Sunamganj dinaiki air.

Negara itu mempunyai kira-kira 130 batang sungai yang turut dilanda banjir pada bulan lalu.

(Mangsa banjir di Sylhet, Bangladesh cuba menyelamatkan diri dengan menaiki perahu/REUTERS)

Bangladesh, sebuah negara berpenduduk 160 juta orang berada di kawasan rendah dan menghadapi ancaman bencana alam seperti banjir dan taufan yang diburukkan lagi oleh perubahan iklim.

Menurut panel antara kerajaan PBB mengenai perubahan iklim, kira-kira 17% rakyat di Bangladesh perlu dipindahkan dalam tempoh sedekad yang akan datang.

Jangkaan itu bergantung kepada faktor pemanasan global pada suhu tinggi secara berterusan. -REUTERS

Media Baharu