fb fb fb fb fb

Banjir besar di Texas ragut 78 nyawa, termasuk 28 kanak-kanak

Foto AFP

TEXAS, 7 Julai - Angka kematian akibat banjir besar yang melanda Texas meningkat kepada 78 orang pada Ahad, termasuk 28 kanak-kanak.

Manakala 41 individu dilaporkan masih hilang dan usaha mencari beberapa kanak-kanak perempuan dari sebuah kem musim panas masih diteruskan.

Sherif Kerr County, Larry Leitha berkata, seramai 68 orang terkorban akibat banjir di daerah itu yang menjadi pusat bencana.

Gabenor Texas, Greg Abbott, dalam sidang media pada petang Ahad mengesahkan 10 lagi kematian berlaku di bahagian lain negeri itu, menjadikan jumlah keseluruhan korban seramai 78 orang.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan mereka yang terjejas.

Banjir tercetus selepas Sungai Guadalupe melimpah akibat hujan lebat luar biasa yang melanda kawasan tengah Texas pada Jumaat.

Pada Sabtu, pihak berkuasa melaporkan lebih 850 orang berjaya diselamatkan, termasuk mereka yang terpaksa berpaut pada pokok selepas hujan lebat luar biasa hingga 15 inci (38 cm) melanda kawasan yang terletak kira-kira 140 kilometer barat laut San Antonio. - REUTERS

TETITIA YUSOFF