AMERIKA SYARIKAT, 7 Julai - Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump memberi bayangan bahawa terdapat peluang terbaik untuk mencapai perjanjian tebusan dengan Hamas dalam minggu ini, menjelang pertemuannya dengan Benjamin Netanyahu di White House.
Trump menyatakan rundingan tidak langsung yang sedang berlangsung berkemungkinan besar akan membawa kepada pembebasan lebih ramai tebusan yang masih ditahan di Gaza.
Netanyahu, yang kini berdepan tekanan antarabangsa dan domestik untuk menghentikan kempen ketenteraan berpanjangan di Gaza, berharap lawatannya ke Washington dapat membantu mempercepatkan proses ke arah gencatan senjata.
Trump dan Netanyahu dijadual bertemu di White House pada Isnin.
Rundingan tidak langsung antara Israel dan Hamas sedang berlangsung di Qatar pada Ahad.
Konflik yang tercetus sejak Oktober 2023 mengakibatkan ribuan rakyat Palestin, kebanyakannya orang awam, terbunuh akibat serangan udara dan sekatan oleh Israel.
Keadaan kemanusiaan di Gaza terus merosot, dengan lebih dua juta penduduk berdepan kekurangan makanan, perubatan dan keperluan asas.
Pihak antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa Bersatu menyifatkan tindakan ketenteraan Israel sebagai punca utama krisis kemanusiaan yang berlarutan, dengan angka korban di Gaza mencecah lebih 57,000 orang setakat ini.
Sementara itu, serangan balas Israel berikutan serangan Hamas pada Oktober 2023 dilihat semakin dipersoalkan, khususnya berhubung jumlah kematian yang tinggi serta keengganan Tel Aviv untuk menerima pelan damai jangka panjang. - AFP