MEXICO CITY, 11 Oktober - Banjir besar akibat hujan lebat berterusan di Mexico sejak awal minggu ini mengorbankan sekurang-kurangnya 28 orang selain memusnahkan ribuan rumah.
Pertahanan Awam Mexico melaporkan, hujan luar biasa itu melanda 31 daripada 32 negeri, menyebabkan sungai melimpah, tanah runtuh serta jalan dan jambatan runtuh.
Negeri Hidalgo paling teruk terjejas dengan 16 kematian dan lebih 1,000 rumah rosak, manakala 90 kawasan masih terputus hubungan dengan pasukan penyelamat.
Di Puebla, sembilan maut dan lebih 80,000 penduduk terkesan, manakala tiga kematian lain dilaporkan di Veracruz dan Queretaro.
Presiden Claudia Sheinbaum berkata, kerajaan kini menumpukan kepada usaha membuka semula jalan utama dan memulihkan bekalan elektrik.
Lebih 5,000 anggota tentera, bersama bot, pesawat dan helikopter, digerakkan bagi membantu operasi menyelamat serta mengagihkan bantuan makanan dan ubat-ubatan.
Kawasan pergunungan Sierra Madre Oriental dikenal pasti sebagai kawasan paling terjejas dengan banyak kampung terputus hubungan akibat tanah runtuh.
Sementara itu, dua ribut tropika Raymond dan Priscilla turut dikesan di pesisir barat Mexico dan dijangka hujan lebat tambahan hujung minggu ini. - AFP