fb fb fb fb fb

Banjir besar di Kenya ragut 61 nyawa, ribuan lagi hilang tempat tinggal

FOTO REUTERS

NAIROBI, 21 November- Sekurang-kurangnya 61 orang terbunuh manakala beribu-ribu lagi hilang tempat tinggal akibat banjir besar yang disebabkan oleh hujan lebat di seluruh Kenya.

Perkembangan itu berlaku ketika negara Afrika Timur berkenaan mengalami peningkatan intensiti dalam risiko iklim.

Menurut Persatuan Palang Merah Kenya lebih 80,000 penduduk hilang tempat tinggal akibat bencana itu.

Sementara itu, lebih lapan orang dihanyutkan arus deras manakala kira-kira 235 lagi cedera.

Ketua Pengurusan Bencana Palang Merah Kenya, Michael Ayabei, memberi amaran bahawa keadaan semakin buruk dengan hujan dijangka berterusan.

Jabatan Meteorologi negara itu meramalkan hujan akan berterusan sehingga Januari.

Beratus-ratus rumah sama ada dihanyutkan atau ditenggelami banjir selain ladang turut ditenggelami air manakala haiwan ternakan mati lemas.

Hujan lebat juga menyebabkan tanah runtuh di beberapa kawasan manakala penduduk yang hilang tempat tinggal mencari perlindungan di kawasan yang lebih tinggi.

Sementara itu, kerajaan Kenya pada Isnin berkata sebanyak 33 daripada 47 daerah di negara itu terjejas akibat banjir.

Setiausaha Kabinet Dalam Negeri dan Pentadbiran Negara Kithure Kindiki dalam satu kenyataan pada Isnin berkata pasukan tindak balas bencana dan pasukan keselamatan telah diaktifkan bagi mengenal pasti lokasi yang mungkin terjejas teruk, lapor Xinhua.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Kenya, Somalia dan Ethiopia merupakan negara paling terjejas dengan perubahan iklim. - BERNAMA-XINHUA

ZEHRA BINTI ZAMBRI