BAHÍA BLANCA, 10 Mac- Jumlah korban akibat banjir kilat di bandar pelabuhan Bahía Blanca, Argentina, meningkat kepada 16 orang setakat Ahad.
Menurut pihak berkuasa Argentina, pasukan penyelamat masih mencari dua kanak-kanak perempuan yang dihanyutkan arus deras.
Dua beradik itu masing-masing berusia satu dan lima tahun.
Menteri Keselamatan Wilayah, Javier Alonso, memaklumkan bahawa kanak-kanak tersebut berada di atas bumbung sebuah van bersama ibu mereka sebelum dihanyutkan arus deras.
"Pasukan penyelamat giat meneruskan pencarian di kawasan yang masih ditenggelami air lebih satu meter," katanya kepada Radio Mitre.
Datuk Bandar Federico Susbielles menyatakan bahawa banjir telah menyebabkan kerosakan infrastruktur bernilai AS$400 juta.
"Jumlah kematian dijangka meningkat kerana usaha pencarian masih diteruskan," katanya di X.
Bandar yang terletak di selatan wilayah Buenos Aires itu dilanda hujan lebat dalam tempoh beberapa jam pada Jumaat, menyebabkan banyak kawasan ditenggelami air.
Ribut turut menyebabkan gangguan bekalan elektrik di kebanyakan kawasan pantai berhampiran.
Pegawai di Bahía Blanca terpaksa memutuskan bekalan elektrik berikutan banjir yang teruk.
Kerajaan telah meluluskan bantuan kecemasan bernilai 10 bilion peso (AS$9.2 juta mengikut kadar rasmi) bagi kerja-kerja pembinaan semula.- AFP