fb fb fb fb fb

Bangkai serigala prasejarah mampu rungkai sejarah Yakutia

Foto REUTERS

YAKUTSK, 30 Jun-Sekumpulan saintis Rusia membuat autopsi bangkai seekor serigala prasejarah berusia 44,000 tahun yang ditemui di utara Wilayah Yakutia.

Penemuan berkenaan dijangka mampu merungkai sejarah ribuan tahun Yakutia.

Menurut saintis berkenaan, autopsi berkenaan adalah yang pertama seumpamanya dilakukan mereka.

Bangkai serigala tersebut ditemukan oleh penduduk tempatan pada 2021 di daerah Abyyskiy.

"Ini adalah penemuan pertama dunia berhubung pemangsa terakhir Pleistocene," kata Albert Protopopov, ketua jabatan untuk Kajian Fauna Raksasa di Akademi Sains Yakutia.

“Umurnya kira-kira 44,000 tahun, dan tidak pernah ditemui sebegitu sebelum ini,” katanya.

Terletak di antara Lautan Artik dan di timur jauh Artik Rusia, Yakutia ialah kawasan paya dan hutan yang luas berukuran sekitar saiz Texas, kira-kira 95% daripadanya dilitupi dalam permafrost.

"Biasanya, haiwan herbivor yang mati, terperangkap di dalam paya, membeku.Ini adalah kali pertama karnivor besar ditemui," kata Protopopov.

"Meskipun, bukan perkara luar biasa untuk menemui bangkai haiwan berusia ribuan tahun yang tertanam jauh di dalam permafrost, yang perlahan-lahan mencair akibat perubahan iklim, serigala itu istimewa", kata Protopopov.

"Ia adalah pemangsa yang sangat aktif. Sedikit lebih kecil daripada singa gua dan beruang", tambahnya.

Sementara itu,bagi Artyom Nedoluzhko, pengarah pembangunan makmal paleogenetik di Universiti Eropah St Petersburg, bangkai serigala berkenaan menawarkan gambaran yang jarang berlaku tentang Yakutia 44,000 tahun lalu.

"Matlamat utama adalah untuk memahami apa yang dimakan oleh serigala ini, siapakah ia, dan bagaimana ia berkaitan dengan serigala purba yang mendiami bahagian timur laut Eurasia," katanya.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD