fb fb fb fb fb

Bandar barisan hadapan Ukraine dipenuhi kabel gentian optik dron FPV

Foto REUTERS

KIEV, 20 Disember – Jalan-jalan serta rumah yang rosak di bandar barisan hadapan Ukraine, Lyman, di wilayah Donetsk dilaporkan dipenuhi kabel gentian optik daripada dron pandangan orang pertama (FPV), berdasarkan rakaman video yang dikeluarkan Briged Mekanized Ke-63 Ukraine pada Jumaat.

Agensi Reuters mengesahkan lokasi rakaman tersebut sebagai Lyman selepas mendapati bangunan, susun atur jalan serta tumbuh-tumbuhan yang kelihatan dalam video berkenaan sepadan dengan imej satelit dan bahan arkib.

Bagaimanapun, tarikh sebenar rakaman video itu tidak dapat disahkan secara bebas.

Menurut Briged Mekanized ke-63 Ukraine, ratusan dron milik Rusia dan Ukraine beroperasi di ruang udara Lyman setiap hari, dengan setiap satu meninggalkan kesan di kawasan berkenaan.

Dron FPV gentian optik disambungkan kepada juruterbang masing-masing melalui gulungan kabel yang panjang dan nipis.

Dalam perkembangan berkaitan, projek pemetaan sumber terbuka Ukraine, Deepstate, pada Jumaat menandakan bandar Lyman sebagai berada di bawah kawalan Ukraine.

Sementara itu, Ketua Staf Angkatan Tentera Rusia, Jeneral Valery Gerasimov, pada 3 Disember lalu mendakwa bahawa pasukan Moscow telah berjaya menembusi Lyman di wilayah Donetsk, namun dakwaan itu dinafikan oleh pihak tentera Ukraine. -REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN