fb fb fb fb fb

Gaza usaha pulih masjid bersejarah selepas dua tahun perang

Foto REUTERS

GAZA, 20 Disember – Penduduk Gaza giat memulihkan warisan budaya yang masih tinggal selepas hampir dua tahun peperangan, dengan tumpuan kepada Masjid Besar Omari, masjid tertua dan terbesar di Gaza.

Pekerja Palestin membersihkan dan menyusun batu-batu berusia lebih 1,200 tahun menggunakan alat asas, manakala hanya serpihan menara dan beberapa dinding masjid masih berdiri.

Husni Al-Mazloom, pengurus projek pemulihan berkata masjid itu mewakili hati dan jiwa Gaza serta Palestin secara keseluruhan.

Sejarawan Palestin, Ayman Al-Balbisi menegaskan kebanyakan tapak bersejarah di Gaza telah musnah semasa perang dalam usaha menghapuskan identiti sejarah rakyat Gaza.

Kemajuan projek pemulihan berjalan perlahan ekoran sekatan Israel terhadap kemasukan bahan binaan, namun ia memberikan pendapatan tambahan kepada penduduk tempatan.

Ali Al-Qaloushi, salah seorang pekerja, berkata peluang itu membolehkan mereka menyara keluarga dan menampung keperluan asas.

Penduduk Palestin mendakwa Israel sengaja menyasarkan tapak warisan, namun Israel menafikan dakwaan itu dan menyatakan serangan mereka mematuhi undang-undang antarabangsa.

Menurut UNESCO, sejak Oktober 2023, sebanyak 145 tapak keagamaan, budaya dan sejarah di Gaza telah mengalami kerosakan, menimbulkan kebimbangan kehilangan yang tidak dapat dipulihkan bagi wilayah yang bersejarah lebih 5,000 tahun. -REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN