fb fb fb fb fb

Bakar gereja, lelaki Ohio berdepan hukuman penjara 20 tahun

(Aimenn Penny dikatakan merupakan ahli kumpulan Neo-Nazi White Lives Matter)

WASHINGTON, 25 April- Seorang lelaki Ohio dihadapkan ke mahkamah selepas didakwa cuba membakar sebuah gereja yang menganjurkan pertunjukan ratu drag.

Aimenn Penny didakwa atas tuduhan membakar, memiliki alat letupan dan menghalang aktiviti ibadat selepas dia ditangkap bulan lalu kerana membaling bom molotov koktel di Gereja Komuniti Chesterland, Ohio.

Menurut fail mahkamah, Penny adalah ahli kumpulan Neo-Nazi White Lives Matter dan menyerang gereja itu pada 25 Mac, seminggu sebelum gereja itu merancang untuk menganjurkan dua acara pertunjukan ratu drag.

Pada 11 Mac, dia dan ahli kumpulan itu memprotes acara ratu drag di Wadsworth, Ohio, sambil membawa bendera Nazi dan "menjerit kata-kata perkauman dan homofobia".

Serangan itu menyebabkan kerosakan gereja, memusnahkan papan tanda dan menghanguskan pintu, menurut penyiasat.

Afidavit FBI berkata mereka menemu bual Penny pada 31 Mac dan dia mengaku melakukan serangan itu.

"Penny menyatakan bahawa dia cuba melindungi kanak-kanak dan menghentikan acara pertunjukan ratu drag," kata afidavit itu.

"Penny menyatakan pada malam itu dia menjadi semakin marah selepas menonton video di internet serta berita mengenai rancangan ratu drag di Perancis dan memutuskan untuk menyerang gereja," katanya.

Penny berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun kerana melanggar Akta Pencegahan Pembakaran Gereja, dan penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun mandatori kerana menggunakan bahan letupan secara berniat jahat.-AFP


(Bom molotov koktel yang digunakan Aimenn Penny dalam
serangan terhadap Gereja Komuniti Chesterland)

Media Baharu