AMERIKA SYARIKAT, 6 Januari- Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden pada Ahad mengkritik rancangan penggantinya, Donald Trump, bagi memansuhkan hak kelahiran yang termaktub dalam Perlembagaan AS.
Biden menyifatkan cadangan itu "mengerikan" ketika bercakap kepada wartawan di White House.
Trump sebelum ini mengumumkan hasratnya untuk memansuhkan hak kewarganegaraan berdasarkan kelahiran melalui dekri pada hari pertama beliau memegang jawatan.
Hak yang dijamin di bawah Pindaan Ke-14 Perlembagaan AS itu memberikan kewarganegaraan secara automatik kepada semua individu yang lahir di AS.
Namun, pakar undang-undang meragui kemampuan Trump untuk memansuhkan hak tersebut hanya melalui dekri.
Perubahan sedemikian memerlukan pindaan Perlembagaan yang melibatkan proses politik yang panjang.
Walaupun terdapat perbezaan politik, Biden menyatakan bahawa peralihan kuasa kepada Trump kelihatan berjalan lancar.
Namun, beliau sekali lagi mengingatkan tentang peristiwa 6 Januari 2021 dan menyifatkan tindakan Trump pada waktu itu sebagai ancaman sebenar kepada demokrasi.
Trump sebelum ini mendakwa secara palsu bahawa beliau memenangi pilihan raya 2020 dan menggesa penyokongnya untuk berarak ke Capitol.
Kenyataan Biden itu dibuat menjelang ulang tahun serangan ke atas bangunan Capitol AS.
Trump dijadualkan memegang jawatan sebagai ketua negara pada 20 Januari.
Beliau turut menyatakan hasrat untuk mengampunkan individu yang terlibat dalam insiden serangan tersebut.- REUTERS