(Anthony Albanese (kiri) dan Joko Widodo(kanan) berjalan bersama
selepas mesyuarat di Istana Presiden di Bogor/AFP)
JAKARTA, 7 Jun- Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese sekali lagi mengulangi hasrat negara ini untuk menyalurkan A$470 juta(US$338.49 juta) kepada 10 negara anggota ASEAN dalam tempoh empat tahun, di bawah program bantuan pembangunan dua hala dan serantaunya.
"Mengeratkan hubungan dengan Asia Tenggara adalah keutamaan kerajaan saya," katanya pada sidang media bersama Presiden Indonesia, Joko Widodo selepas mengadakan pertemuan di Istana Bogor pada Isnin.
(Anthony Albanese (kiri) dan Joko Widodo (kanan)
menghadiri mesyuarat di Istana Presiden di Bogor/AFP)
Australia akan melantik utusan serantau peringkat tinggi dan menubuhkan Pejabat Asia Tenggara di Jabatan Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan.
Australia komited untuk menyampaikan Strategi Ekonomi ASEAN yang komprehensif hingga 2040, untuk menyediakan peluang eksport dan pelaburan pada masa sekarang dan akan datang yang merentas pasaran utama ASEAN.
Albanese berkata Australia juga menyokong ASEAN Outlook di Indo-Pasifik, dan visinya untuk keamanan, kemakmuran dan keselamatan di Indo-Pasifik.
Beliau turut mengumumkan kerjasama iklim dan infrastruktur bernilai A$200 juta dengan Indonesia.
Perdana Menteri Australia dalam rangka lawatan tiga hari ke Indonesia bermula Isnin dan merupakan kunjungan pertama beliau sejak menjadi perdana menteri pada 23 Mei lepas. -BERNAMA