fb fb fb fb fb

Australia tamatkan kuarantin wajib COVID-19

(Foto Hiasan)

ANKARA, 1 Oktober- Australia pada Jumaat mengumumkan negara itu akan menamatkan keperluan pengasingan mandatori COVID-19  bermula 14 Oktober.

Perdana Menteri Anthony Albanese membuat pengumuman itu selepas mesyuarat kabinet yang dipengerusikannya, lapor Agensi Anadolu, memetik kenyataan rasmi.

"Para menteri bersetuju untuk menamatkan keperluan isolasi mandatori untuk COVID-19 berkuat kuasa 14 Oktober, dengan setiap pihak pelaksana akan membuat perubahan terhadap perundangan kesihatan awam yang berkaitan," kata pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan itu.

Kabinet juga bersetuju untuk menamatkan Bayaran Cuti Bencana Pandemik pada tarikh yang sama.

Bagaimanapun, bantuan kewangan akan terus disediakan kepada pekerja di pusat penjagaan warga emas, penjagaan orang kurang upaya, penjagaan kesihatan Orang Asli dan hospital.

Pada sidang akhbar di ibu negara Canberra, Ketua Pegawai Perubatan Paul Kelly, berkata wabak itu belum berakhir dan peningkatan jangkitan virus itu pada masa depan, seperti yang berlaku awal tahun ini, mungkin berlaku.

"Kami berada dalam fasa penularan wabak komuniti yang sangat rendah di Australia," katanya.

“Bagaimanapun, pada masa ini, kadarnya sangat rendah bagi kes kemasukan ke hospital, kemasukan ke unit rawatan rapi, penularan di pusat penjagaan warga emas, dan pelbagai langkah lain yang kami pantau teliti, dan dimuatkan dalam laporan terbuka mingguan kami,” katanya kepada pemberita.- BERNAMA


(Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese)

Media Baharu