SYDNEY, 10 Disember - Penduduk Australia di Sydney memberikan reaksi bercampur selepas negara itu menjadi yang pertama di dunia melarang kanak-kanak bawah 16 tahun daripada menggunakan media sosial, termasuk TikTok, YouTube serta Instagram dan Facebook milik Meta.
Menerusi undang-undang baharu itu, sepuluh platform terbesar diarahkan menyekat akses kanak-kanak mulai tengah malam, atau berdepan denda sehingga A$49.5 juta (AS$33 juta).
Langkah tersebut mengundang kritikan syarikat teknologi dan pejuang kebebasan bersuara, namun disambut baik ramai ibu bapa dan aktivis kanak-kanak.
Penduduk Sydney, Will Atkins, menyokong langkah tersebut kerana menyifatkannya sebagai usaha mengembalikan kepentingan awam dalam pengawalseliaan media.
"Kita selama ini mengawal media demi kepentingan awam dan saya fikir kerajaan cuba mengembalikan semula kepentingan itu. Itu satu langkah baik kerana memang wujud risiko dan ia datang dari pelbagai negara. Jadi menilai isu media sosial dari perspektif Australia adalah satu idea yang baik," katanya.
Menurut Michael Bianchino, masyarakat sentiasa mencari jalan untuk mengatasi sekatan undang-undang, namun beliau mengakui kerajaan perlu mengambil tindakan segera.
"Tetapi kerajaan perlu melakukan sesuatu dan jika ia berjaya di Australia — yang saya fikir memang berpotensi — negara lain mungkin akan mengikutinya. Sama seperti pembungkusan rokok tanpa jenama yang berjaya di Australia dan akhirnya ditiru banyak negara lain," katanya.
Sementara itu, berbeza pula dengan Dominique Antarakis, dia berpandangan larangan menyeluruh itu tidak memberi kesan berikutan orang ramai akan mencari jalan untuk menggunakan media sosial.
"Saya tidak fikir larangan seperti ini akan berkesan. Orang ramai cenderung mencari jalan untuk mengatasi larangan jika mereka mahu. Jadi saya rasa ia tidak akan mencapai apa yang disasarkan," katanya.
Bagi Rebecca Fernandez pula, larangan itu dikhuatiri akan memutuskan hubungan kanak-kanak dengan komuniti serta menyekat akses sokongan dalam talian.
"Ia juga mungkin menafikan akses mereka kepada sokongan yang boleh diperoleh secara dalam talian. Kini mereka hanya boleh mendapatkan berita daripada media tradisional, yang ada kecenderungan tertentu berbeza daripada sumber dalam talian. Secara keseluruhan, saya tidak melihat ini sebagai satu langkah yang baik," katanya.
Pelaksanaan larangan itu menutup perdebatan selama setahun mengenai kemampuan sesebuah negara menyekat sepenuhnya penggunaan platform yang sudah menjadi sebahagian kehidupan harian, selain menjadi ujian sebenar bagi kerajaan yang kecewa kerana syarikat media sosial dilihat lambat memperkenalkan langkah mengurangkan risiko kepada pengguna muda.
Beberapa negara seperti Denmark, New Zealand dan Malaysia turut memberi isyarat mereka akan meneliti atau mencontohi model Australia, menjadikan negara itu melihat sejauh mana kerajaan boleh melaksanakan pengesahan had umur tanpa mengekang kebebasan bersuara atau inovasi.- REUTERS