BARCELONA, 11 September - Israel perlu diharamkan daripada menyertai sebarang acara sukan seperti yang dikenakan terhadap Rusia sejak tahun 2022.
Menteri Sukan Sepanyol Pilar Alegria secara terbuka bersetuju sekiranya negara haram itu tidak dibenarkan menyertai mana-mana acara disebabkan kezaliman mereka di Gaza.
Beliau mengulas mengenai penyertaan pasukan berbasikal Israel pada kejohanan berbasikal terkemuka Vuelta a Espana yang sedang berlangsung ketika ini.
Kehadiran peserta Israel telah menimbulkan bantahan besar-besaran di Sepanyol termasuk dalam kalangan para pelumba.
"Memang berlaku dwistandard di sini. Memandangkan telah berlaku pembunuhan beramai-ramai, dan situasi yang amat dahsyat hari demi hari di Gaza, saya bersetuju sekiranya persekutuan dan jawatankuasa antarabangsa mana-mana sukan mengharamkan penyertaan Israel sama seperti yang dilakukan kepada Rusia.
"Tiada pasukan dan tiada kelab dari Rusia menyertai pertandingan antarabangsa. Namun apabila ada individu (dari Rusia) mengambil bahagian, mereka melakukannya di bawah bendera neutral dan tanpa lagu kebangsaan."
Alegria menegaskan penganjur perlumbaan Vuelta perlu menghalang pasukan Israel daripada bertanding. - AFP