LONDON, 14 September - Syarikat farmaseutikal gergasi British, AstraZeneca, menghentikan sementara rancangan peluasan tapak penyelidikannya bernilai £200 juta (AS$271 juta) di Cambridge, timur England, sekali gus menjadi tamparan terbaharu terhadap pelaburan asing di United Kingdom (UK).
Langkah itu menyusul selepas syarikat berkenaan pada Januari lalu membatalkan rancangan membina kilang vaksin bernilai £450 juta di barat laut England, selain hanya beberapa hari selepas syarikat farmaseutikal Amerika Syarikat, Merck, menggugurkan rancangan membangunkan pusat penyelidikan bernilai AS$1.4 bilion di Britain.
Merck sebelum ini menyalahkan "kekurangan pelaburan" dalam sektor tersebut dan harga ubat di negara itu sebagai punca keputusan mereka.
Jurucakap AstraZeneca dalam kenyataan ringkas menyatakan pihak pengurusan syarikat “sentiasa menilai semula keperluan pelaburan syarikat dan boleh mengesahkan rancangan peluasan di Cambridge digantung buat sementara waktu.”
“Kami tidak mempunyai sebarang komen lanjut,” tambah jurucakap itu.
Keputusan tersebut menjadi cabaran baharu kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Keir Starmer, yang sedang bergelut untuk merangsang ekonomi UK yang lembap.
Pengkritik berpendapat cukai yang tinggi serta kekurangan subsidi dan pelaburan menghalang kemasukan pelaburan asing dalam pelbagai sektor.
Dalam masa sama, kumpulan farmaseutikal terbesar dunia tahun ini turut berdepan tekanan hebat daripada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, supaya melabur di negara itu atau berdepan tarif tinggi terhadap pengeluaran mereka di luar Amerika.
Pada Julai lalu, AstraZeneca mengumumkan akan melabur AS$50 bilion di Amerika Syarikat menjelang 2030, termasuk membina kilang bernilai berbilion dolar di Virginia serta memperluas operasi penyelidikan dan pembuatan di negara tersebut.-AFP