fb fb fb fb fb

19 pelajar sekolah menengah maut dalam serangan udara tentera Myanmar di Rakhine

Arakan Army mendakwa tentera Myanmar melancarkan serangan udara ke atas sekolah di Rakhine, mengorbankan 19 pelajar dan mencederakan lebih 20 yang lain.

YANGON, 14 September - Sekurang-kurangnya 19 pelajar, termasuk kanak-kanak, terkorban dalam serangan udara junta tentera di negeri Rakhine, barat Myanmar, menurut kumpulan bersenjata minoriti etnik Arakan Army (AA) pada Sabtu.

AA yang kini terlibat dalam pertempuran sengit dengan tentera pemerintah bagi menguasai Rakhine mendakwa pihaknya berjaya menawan sebahagian besar wilayah itu sejak setahun lalu.

Kumpulan itu dalam kenyataan di Telegram memaklumkan serangan udara berkenaan menyasarkan dua sekolah menengah swasta di daerah Kyauktaw sejurus selepas tengah malam Jumaat, menyebabkan 19 pelajar berusia antara 15 hingga 21 tahun terbunuh, manakala 22 lagi cedera.

“Kami bersedih seperti keluarga mangsa atas kematian pelajar tidak berdosa ini,” menurut kenyataan AA.

AA menyalahkan junta tentera atas serangan itu, namun jurucakap junta tidak menjawab panggilan AFP untuk mendapatkan maklum balas mengenai insiden berkenaan.

Media tempatan, Myanmar Now, melaporkan sebuah pesawat pejuang junta menjatuhkan dua bom seberat 500 paun ke atas sebuah sekolah ketika pelajar sedang tidur.

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNICEF) dalam kenyataan berasingan mengecam serangan itu sebagai “serangan kejam” yang menurutnya “menambah kepada pola keganasan yang semakin dahsyat di Rakhine, dengan kanak-kanak dan keluarga menjadi mangsa utama.”

AFP melaporkan tidak dapat menghubungi penduduk di sekitar Kyauktaw berikutan capaian internet dan talian telefon yang terputus-putus di kawasan itu.

Tentera Myanmar berdepan tentangan di pelbagai lokasi di seluruh negara dan sering dituduh melancarkan serangan udara serta bedilan artileri ke atas komuniti awam sejak merampas kuasa daripada kerajaan awam pimpinan Aung San Suu Kyi pada 2021.-AFP

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN