DAMSYIK, 14 Julai- Seorang askar Syria terbunuh manakala tiga lagi cedera dalam serangan Israel ke atas beberapa lokasi dan sekitar Damsyik, kata media kerajaan Syria.
Tentera Israel telah menyasarkan pusat arahan tentera Syria termasuk infrastruktur milik tentera Syria dan pertahanan udara sebagai tindak balas kepada dua dron yang dilancarkan ke arah Israel dari wilayah Syria.
"Seorang askar terbunuh dan tiga lagi cedera berikutan pencerobohan udara yang dilancarkan oleh Israel selepas tengah malam," lapor agensi berita Syria SANA.
Serangan itu "dilancarkan ke arah kedudukan tentera di Bukit Golan Syria dan sebuah bangunan kediaman di daerah Kafr Sousa di Damsyik", tambahnya.
Bagaimanapun sistem pertahanan udara telah memintas dan menjatuhkan beberapa peluru berpandu yang dilancarkan.
Agensi berita menyiarkan gambar yang menunjukkan kebakaran yang kelihatan seperti kawah akibat letupan itu.
Seorang wartawan AFP yang melawat tempat kejadian berkata, serangan itu menyebabkan kawah sedalam kira-kira 30 meter dan lebar 10 meter.
Bangunan lapan tingkat turut rosak selain menyebabkan tingkap pecah serta kira-kira 30 kereta hangus.
Persekitaran telah dikawal oleh polis, manakala anggota bomba cuba memadamkan kebakaran di kawasan itu.
Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria berkata seorang individu telah terbunuh dan enam lagi cedera dalam serangan Israel yang menyasarkan sebuah bangunan di Kafr Sousa dan ibu pejabat tentera di selatan Damsyik.
Stesen radio tempatan Sham FM melaporkan "letupan itu berikutan serangan Israel yang menyasarkan ibu negara".
Sementara itu seorang penduduk di Damsyik timur, Mezzeh berkata, "letupan itu sangat kuat dan berturut-turut." Ia diikuti dengan "bau serbuk mesiu yang kuat".
Tentera Israel dalam pada itu berkata "dua UAV menghampiri kawasan utara Eilat dari wilayah Syria.
"Sebagai tindak balas, IDF (tentera Israel) menyerang pusat arahan tentera Syria dan infrastruktur," tambahnya.- AFP