fb fb fb fb fb

Askar Mexico tembak mati enam pendatang

FOTO AFP

MEXICO CITY, 3 Oktober- Enam pendatang telah terbunuh selepas askar Mexico yang melepaskan tembakan ketika mengejar beberapa kenderaan mencurigakan di lebuh raya di selatan negara itu, menurut kementerian pertahanan pada Rabu.

Patrol berkenaan menemui 33 pendatang dari negara seperti Mesir, Nepal, Cuba, India, dan Pakistan, namun mereka tidak menyatakan kewarganegaraan mangsa yang terbunuh dalam kejadian pada malam Selasa di negeri Chiapas.

Dua askar yang melepaskan tembakan telah digantung tugas sementara menunggu siasatan lanjut, menurut kenyataan itu.

Kementerian pertahanan dalam satu kenyataan memaklumkan, patrol tersebut melihat sebuah kenderaan, diikuti dua lori 'flatbed' seperti yang sering digunakan oleh penjenayah, dipandu dengan kelajuan tinggi dan kelihatan cuba melarikan diri.

"Anggota tentera melaporkan mendengar bunyi tembakan, jadi dua askar bertindak balas dengan menggunakan senjata mereka, menghentikan salah satu lori," kata kenyataan itu.

Empat pendatang maut di tempat kejadian, manakala dua daripada 12 yang cedera meninggal dunia di hospital, tambah kenyataan tersebut.

17 pendatang yang tidak cedera telah diserahkan kepada pihak berkuasa imigresen.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE