fb fb fb fb fb

AS semak semula caj kapal China

Foto AFP

AMERIKA SYARIKAT, 12 April- Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sedang menyemak semula cadangan untuk mengenakan caj tinggi terhadap kapal yang mempunyai kaitan dengan China.

Ia susulan bantahan keras daripada kesatuan sekerja AS, pengendali perkapalan dan pakar logistik.

Cadangan yang dikemukakan oleh Pejabat Wakil Perdagangan AS (USTR) pada awal tahun ini melibatkan caj sehingga AS$3 juta bagi setiap persinggahan kapal di pelabuhan AS; membabitkan kapal yang dibina di China atau mempunyai kaitan dengannya.

Namun, selepas sesi pendengaran bersama pakar industri baru-baru ini, satu struktur caj alternatif kini sedang dipertimbangkan.

Pakar memberi amaran bahawa caj tambahan itu berkemungkinan besar akan dipindahkan kepada pengguna, sekali gus mendorong peningkatan kadar inflasi.

Ketua Strategi di Waterfront Logistics, Weston LaBar, berkata kenaikan kos tersebut boleh memberi kesan besar terhadap inflasi; bergantung kepada jenis barangan.

“Apabila kos perkhidmatan kepada pelanggan meningkat terutamanya kerana sebahagian besar barangan pengguna dihantar melalui kapal besar dari satu lokasi ke lokasi lain, kesan rantaian harga tidak dapat dielakkan,” katanya.

Selain kenaikan harga, pakar turut memberi amaran bahawa caj itu boleh menjejaskan trafik penghantaran sepenuhnya, sekali gus mengganggu rantaian bekalan global yang kritikal.

"Langkah itu akan mengganggu secara langsung pergerakan fizikal kapal.

“Sama ada kapal dialihkan atau pelabuhan digabungkan, ia pasti membawa kepada kesesakan. Langkah ini terlalu drastik dan lebih mengganggu kelancaran operasi,” kata Felo Kanan di Center for Maritime Strategy, John McCown.- AFP

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM