fb fb fb fb fb

AS mulakan pembinaan jeti bantuan ke Gaza tidak lama lagi

Amerika Syarikat (AS) akan memulakan pembinaan jeti tidak lama lagi untuk meningkatkan penghantaran bantuan yang diperlukan ke Gaza / Foto Reuters

WASHINGTON, 24 April - Amerika Syarikat (AS) akan memulakan pembinaan jeti tidak lama lagi untuk meningkatkan penghantaran bantuan yang diperlukan ke Gaza, kata Pentagon pada Selasa.

Gaza, wilayah pantai yang kecil telah musnah akibat pengeboman dan operasi darat Israel lebih enam bulan menyebabkan penduduk awam memerlukan bantuan kemanusiaan untuk terus hidup.

"Semua kapal yang diperlukan berada di dalam wilayah Mediterranean. Kami bersedia untuk memulakan pembinaan tidak lama lagi," kata jurucakap Pentagon, Mejar Jeneral Pat Ryder kepada wartawan, merujuk kepada kapal yang membawa peralatan untuk projek pembinaan jeti tersebut.

Kemudahan itu terdiri daripada platform luar pesisir untuk pemindahan bantuan dari kapal yang lebih besar kepada kapal yang lebih kecil, dan sebuah jeti untuk membawanya ke darat.

Perancangan itu pertama kali diumumkan Presiden AS, Joe Biden pada awal Mac ketika Israel menahan penghantaran bantuan melalui darat.

Pegawai AS berkata usaha itu tidak akan melibatkan tentera Israel di Gaza, namun tentera Amerika akan mendekati wilayah yang terkepung itu ketika mereka membina jeti tersebut, di mana tentera Israel perlu menyediakan keselamatan di darat.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN