GAZA, 24 April- Sebilangan penduduk Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak cedera dalam serangan terbaharu Israel di kawasan al-Zahra di Deir al-Balah, hari ini.
Kesemua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Syahid Al-Aqsa di tengah Gaza.
Konflik berterusan Israel-Hamas itu menyebabkan 85 peratus penduduk Gaza mengalami kekurangan makanan, sekali gus meningkatkan risiko kebuluran.
Israel sebelum ini dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa.
Keputusan sementara pada Januari lalu telah mengarahkan Tel Aviv menghentikan tindakan pembunuhan itu dan mengambil langkah-langkah untuk menjamin bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Bagaimanapun, Israel tetap mengepung dan menyerang penduduk Palestin.
Serangan Israel telah menyebabkan sekurang-kurangnya 34,183 rakyat Palestin terbunuh manakala, 77,000 orang lagi mengalami kecederaan. - REUTERS